Lebih 1,000 perwakilan akan menentukan nasib Datuk Husam Musa yang mencabar Nasharuddin Mat Isa dalam persaingan mereka merebut jawatan timbalan presiden PAS.

Tokoh popular parti itu Mohamad Sabu, yang turut menawar diri dalam persaingan tersebut, dijangka boleh menggugat peluang Husam apabila mengalih undi exco kerajaan Kelantan itu kepadanya.Perwakilan mula membuang undi untuk melantik jawatan-jawatan kanan parti dan barisan ahli jawatankuasa pusat PAS kira-kira 3.30 petang ini selepas persidangan ditangguhkan untuk solat Jumaat dan makan tengah hari.


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang - yang tidak dicabar - menyampaikan ucapan dasar bertemakan "Islam Memimpin Perubahan" di muktamar ke-55 yang diadakan selama tiga hari di Shah Alam.Pengundian dimulakan oleh pemimpin-pemimpin paling kanan parti dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendahului ahli -ahli Majlis Syura dan kemudian diikuti jawatankuasa pusat PAS.Sebanyak 40 tempat mengundi disediakan di belakang pentas utama. Proses pengundian tamat jam 6 petang dan sidang muktamar akan disambung semula 9 pagi. Pengumuman rasmi calon-calon yang menang akan dibuat setengah jam selepas itu.

Keputusan persaingan Husam dan Nasharuddin, yang dijangka diketahui malam ini, paling dinanti-nantikan oleh penyokong PAS dan pengamat politik nasional. Husam dan Nasharuddin - dianggap mewakili dua aliran bertentangan antara masing-masing "kumpulan Erdogan" dan pro-muqabalah dengan Umno - akan mencorak masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat dan strategi parti menjelang pilihanraya umum akan datang.Bagi jawatan naib presiden, lima tokoh parti itu merebut tiga kekosongan yang ditinggalkan oleh Husam, Mohamad dan Ahmad Awang, pesuruhjaya PAS Perak. Calon-calon itu: bekas ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan tiga ahli jawatankuasa pusat Mujahid Yusof Rawa, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim dan Nik Amar Nik Abdullah.[Laporan penuh menyusul]

0 comments: